Friday, September 5, 2008

Daerah Sepang

Latar Belakang

Sepang Daerah Sepang adalah daerah bongsu serta terletak di bahagian selatan Negeri Selangor, bersempadan dengan Daerah Hulu Langat, Daerah Kuala Langat dan Daerah Petaling. Daerah Sepang juga bersempadan dengan Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus. Jika dilihat dari pandangan atas, Daerah Sepang adalah berbentuk seperti hulu sebatang keris, memanjang ke arah selatan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban di sempadan sebelah timur sehingga ke kampung Sungai Buah atau Bukit Unggul. Di sebelah baratnya pula, adalah Daerah Kuala Langat, sementara Daerah Petaling menjadi jiran di sebelah utara. Di sebelah selatan pula, Daerah Sepang terbuka menghadap Selat Melaka.



Penubuhan Daerah Sepang

Mengikut sejarah awal, nama Daerah Sepang diambil bersempena nama pokok yang banyak tumbuh di daerah ini, iaitu pokok Sepang(Caesalpina sappan). Pada awalnya, daerah ini merupakan kawasan-kawasan daerah kecil Kuala Langat (Mukim Sepang dan Mukim Labu) dan Hulu Langat (Mukim Dengkil) kemudian digabungkan menjadi satu daerah baru. Daerah Sepang mencapai taraf Daerah sepenuhnya pada 1 Januari 1975 . Semasa awal penubuhannya, Pusat Pentadbiran Daerah Sepang terletak di Pekan Sepang. Apabila Kerajaan Persekutuan memilih Daerah Sepang untuk menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pusat Pentadbiran Daerah Sepang telah dipindahkan ke Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) pada 26 Ogos 1983.


Bandar Baru Salak Tinggi dikenali sebagai Bandar Lapangan Terbang (Airport City) seluas 896 hektar sedang giat dibangunkan terutama melalui penswastaan supaya menjadi setaraf serta mampu menyokong projek-projek di daerah lain di Negeri Selangor. Selain daripada bangunan kerajaan, banyak kawasan-kawasan perumahan baru telah dibina dan kilang-kilang dibuka. Bandar ini dilengkapi dengan kemudahan awam seperti perpustakaan, stadium, dewan orang ramai dan sebagainya.


Jaringan jalan raya Daerah Sepang telah bertambah dan dipertingkatkan. Ia terdiri daripada Lebuh raya Elite di bahagian barat, Lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban di bahagian timur dan Lebuh raya B20 di pertengahannya. Sistem ini akan dipertingkatkan lagi dengan jalan raya-jalan raya baru seperti South Klang Valley Expressway (SKVE), Dedicated Highway, Putrajaya Urban Motorway dan Lebuh raya B15 baru. Di Daerah Sepang juga dilengkapi dengan Sistem Kereta api Ringan (Express Rail Link - ERL) yang dibina untuk menghubungkan Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui Putrajaya dan Cyberjaya. Kemudaha ninfrastruktur ini perlu bagi menampung projek-projek mega supaya pembangunan di sekitar Daerah Sepang terus berjalan lancar.

No comments: