Tuesday, September 16, 2008

Tingginya Cukai Taksiran


KOSMO
7 September 2008












SEBAHAGIAN penduduk menunjukkan surat cukai taksiran yang didakwa mereka jauh lebih mahal dari taman perumahan di Lembah Klang di Taman Ixora, Sepang, semalam.


SEPANG - Adakah mercu tanda negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa di sini bermakna keseluruhan kawasan di situ benar-benar bertaraf antarabangsa? Itu rintihan penduduk yang mendakwa cukai taksiran yang dikenakan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) jauh lebih tinggi berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor. Tatkala kawasan elit seperti di Shah Alam, USJ atau Klang yang ada kediamannya mencapai harga RM500,000 tetapi cukai taksirannya cuma sekitar RM400 atau RM500 setahun sahaja. Tapi yang berlaku kepada penduduk Taman Ixora yang rumah mereka berharga sekitar RM250,000 pula kadar yang dikenakan iaitu kira-kira RM600 setahun.


Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi, Abdul Rashid Abdul Malik berkata, kadar tahunan itu membuatkan penduduk rasa tidak puas hati dengan PBT di kawasan berkenaan. "Lagi pun, masih banyak lagi infrastruktur tidak lengkap di sini seperti kemudahan pengangkutan bas, pusat komersial, hospital dan sebagainya selain jarak sesuatu kawasan penduduk berjauhan antara satu sama lain. "Bagi penduduk yang baru menetap di sini pasti akan terkejut apabila mendapati cukai taksiran itu tinggi berbanding kawasan padat seperti di Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya," katanya di sini semalam. Menurut Abdul Rashid, penduduk pernah mengajukan masalah itu kepada MPSp pada Februari lalu dan pihak majlis setuju mengadakan perjumpaan bagaimanapun ia dibatalkan pada saat-saat akhir. "Tetapi pada saat akhir perjumpaan itu dibatalkan dan pada minggu lepas tiba-tiba sahaja penyata cukai pintu baru sampai pintu rumah kami," ujarnya.


Tambahnya, terdapat 500 rumah di sini dan setiap rumah perlu membayar cukai taksiran sebanyak kira-kira RM284 untuk tempoh setengah tahun. Seorang penduduk yang juga ahli jawatankuasa persatuan penduduk, Ahmad Fuad Aman, 48, mempersoalkan atas dasar apa cukai taksiran tersebut begitu tinggi meskipun kawasan itu belum membangun sepenuhnya dan masih terdapat kawasan lapang terbiar dan kawasan kampung. "Saya hairan, apakah kaedah yang digunakan MPSp dalam mengira cukai taksiran itu sehingga mendapat nilai sedemikian rupa," ujarnya. Sehubungan itu, rata-rata mereka berharap MPSp menurunkan kadar yang dikenakan itu supaya penduduk tidak rasa terbeban selain dapat menarik lebih orang ramai membeli hartanah di kawasan itu. Bagi seorang lagi penduduk, Nor Azrin Arshad, 32, berasa terkilan membeli rumah di situ kerana menjangkakannya kawasan yang jauh dari Kuala Lumpur, cukai taksiran akan rendah. "Sudahlah rumah yang dibeli itu pajakan kami perlu bayar cukai tinggi lagi," ujarnya

No comments: