Tuesday, September 16, 2008

Tingginya Cukai Taksiran


KOSMO
7 September 2008












SEBAHAGIAN penduduk menunjukkan surat cukai taksiran yang didakwa mereka jauh lebih mahal dari taman perumahan di Lembah Klang di Taman Ixora, Sepang, semalam.


SEPANG - Adakah mercu tanda negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa di sini bermakna keseluruhan kawasan di situ benar-benar bertaraf antarabangsa? Itu rintihan penduduk yang mendakwa cukai taksiran yang dikenakan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) jauh lebih tinggi berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor. Tatkala kawasan elit seperti di Shah Alam, USJ atau Klang yang ada kediamannya mencapai harga RM500,000 tetapi cukai taksirannya cuma sekitar RM400 atau RM500 setahun sahaja. Tapi yang berlaku kepada penduduk Taman Ixora yang rumah mereka berharga sekitar RM250,000 pula kadar yang dikenakan iaitu kira-kira RM600 setahun.


Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Ixora, Bandar Baru Salak Tinggi, Abdul Rashid Abdul Malik berkata, kadar tahunan itu membuatkan penduduk rasa tidak puas hati dengan PBT di kawasan berkenaan. "Lagi pun, masih banyak lagi infrastruktur tidak lengkap di sini seperti kemudahan pengangkutan bas, pusat komersial, hospital dan sebagainya selain jarak sesuatu kawasan penduduk berjauhan antara satu sama lain. "Bagi penduduk yang baru menetap di sini pasti akan terkejut apabila mendapati cukai taksiran itu tinggi berbanding kawasan padat seperti di Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya," katanya di sini semalam. Menurut Abdul Rashid, penduduk pernah mengajukan masalah itu kepada MPSp pada Februari lalu dan pihak majlis setuju mengadakan perjumpaan bagaimanapun ia dibatalkan pada saat-saat akhir. "Tetapi pada saat akhir perjumpaan itu dibatalkan dan pada minggu lepas tiba-tiba sahaja penyata cukai pintu baru sampai pintu rumah kami," ujarnya.


Tambahnya, terdapat 500 rumah di sini dan setiap rumah perlu membayar cukai taksiran sebanyak kira-kira RM284 untuk tempoh setengah tahun. Seorang penduduk yang juga ahli jawatankuasa persatuan penduduk, Ahmad Fuad Aman, 48, mempersoalkan atas dasar apa cukai taksiran tersebut begitu tinggi meskipun kawasan itu belum membangun sepenuhnya dan masih terdapat kawasan lapang terbiar dan kawasan kampung. "Saya hairan, apakah kaedah yang digunakan MPSp dalam mengira cukai taksiran itu sehingga mendapat nilai sedemikian rupa," ujarnya. Sehubungan itu, rata-rata mereka berharap MPSp menurunkan kadar yang dikenakan itu supaya penduduk tidak rasa terbeban selain dapat menarik lebih orang ramai membeli hartanah di kawasan itu. Bagi seorang lagi penduduk, Nor Azrin Arshad, 32, berasa terkilan membeli rumah di situ kerana menjangkakannya kawasan yang jauh dari Kuala Lumpur, cukai taksiran akan rendah. "Sudahlah rumah yang dibeli itu pajakan kami perlu bayar cukai tinggi lagi," ujarnya

Sunday, September 7, 2008

Info MPsepang

Selamat datang ke blog saya dan terima kasih atas kunjungan anda semua, untuk pengetahuan anda di sini ada info tentang MPSeng. Majlis Perbandaran Sepang merupakan sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang semakin penting dan mempunyai tanggungjawab yang berat dan mencabar. kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Sepang adanya Kuala Lumpur International Airport (KLIA) merupakan lapangan terbang terbesar dan tercanggih di Asia. Selain itu, Bandar Bistari yang dikenali sebagai Bandar Cyberjaya, Airport City, Cybervillage, Bio Valley dan Hi Tech Park juga terletak di dalam kawasan Multimedia Super Corridor (MSC) yang merupakan projek nasional Negara. Litar Formula 1 Sepang adalah litar unggul, terkemuka dan bertaraf antarabangsa juga terletak di Perbandaran Sepang yang berhampiran dengan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Selain daripada itu, usaha untuk menjadikan Daerah Sepang sebagai sebuah destinasi pelancongan terkemuka, pusat kecemerlangan pendidikan, peneraju Teknologi Maklumat terus akan dijadikan agenda utama pembangunan. Pemilihan Daerah Sepang dalam Lembah Klang Ke Dua sudah pasti menjanjikan mara kehadapan yang penuh gemilang kepada masyarakat setempat. Pihak Majlis berjanji dan akan berusaha untuk memberi perkhidmatan dan menyediakan kemudahan serta infrastruktur yang terbaik untuk kegunaan orang ramai seiring dengan Negeri Selangor Maju.

Friday, September 5, 2008

MPSepang-Latarbelakang-


MAJLIS PERBANDARAN SEPANG (MPSepang) merupakan sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang diberi kuasa di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) untuk memberikan perkhidmatan perbandaran kepada warga Sepang. Sebagai Pihak Berkuasa Tempatan, MAJLIS PERBANDARAN SEPANG bertanggungjawab terhadap Perancangan, Pembangunan dan Khidmat Masyarakat.

Pada mulanya ia dikenali sebagai Lembaga Bandaran Sepang dan kemudian dikenali dengan nama Majllis Daerah Sepang. Kelulusan Pihak Berkuasa Negeri Selangor melalui mesyuarat MMKN 30/2002 bertarikh 13hb November 2002 telah menaiktaraf MDS kepada MPSepang. Perakuan Suruhanjaya Pilihanraya melalui surat Bil.SPR(S)172/Jilid5/(30) bertarikh 7hb Mei 2003 turut dirujuk bagi kenaikan taraf ini. Akhirnya, Perakuan Jawatankuasa Pembangunan Cyberjaya dalam mesyuaratnya Bil.3/2002 dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara mengesahkan tentang kenaikan taraf MPSepang dan tanggal 3hb Mac 2005 MDS dinaiktaraf kepada MPSepang dan seluruh kawasan Daerah Sepang adalah meliputi kawasan MPSepang iaitu seluas 59,966 kilometer persegi.


Aktiviti Utama MPSepang

  • Merancang dan mengawal pembangunan secara tersusun, sejahtera dan seimbang.
  • Menyediakan kemudahan dan prasarana yang lengkap dan terkini bagi menggalakkan pertumbuhan sosioekonomi bagi Warga Pembandaran.
  • Menyediakan perkhidmatan kawalselia kebersihan dan kesihatan serta kawalan penyakit berjangkit dengan berkesan dan menyeluruh.
  • Menyediakan landskap yang indah dan menarik.
  • Melaksanakan pencukaian dan pengurusan harta sebagai sumber utama hasil.
  • Melesenkan dan mengawal aktiviti perniagaan, iklan dan penjaja.
  • Menguatkuasakan undang-undang dengan tegas, adil dan saksama.

Bunga Rasmi MPSepang







Nama Saintifik - Delonix Regia
Nama Tempatan - Bunga Semarak Api



Bunga Semarak Api (Delonix Regia) bunga rasmi Majlis Perbandaran Sepang dan penamaannya telah disempurnakan oleh DYMM Tengku Idris Shah Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Pemangku Raja Selangor pada 16 September 1999. Pemilihan bunga Semarak Api sebagai bunga rasmi Majlis Perbandaran Sepang adalah tepat memandangkan bunganya yang cantik berwarna merah dan ceria dapat menarik burung-burung dan serangga. Selain daripada itu, ia memberi teduhan serta hiasan yang menarik.

Daerah Sepang

Latar Belakang

Sepang Daerah Sepang adalah daerah bongsu serta terletak di bahagian selatan Negeri Selangor, bersempadan dengan Daerah Hulu Langat, Daerah Kuala Langat dan Daerah Petaling. Daerah Sepang juga bersempadan dengan Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus. Jika dilihat dari pandangan atas, Daerah Sepang adalah berbentuk seperti hulu sebatang keris, memanjang ke arah selatan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban di sempadan sebelah timur sehingga ke kampung Sungai Buah atau Bukit Unggul. Di sebelah baratnya pula, adalah Daerah Kuala Langat, sementara Daerah Petaling menjadi jiran di sebelah utara. Di sebelah selatan pula, Daerah Sepang terbuka menghadap Selat Melaka.



Penubuhan Daerah Sepang

Mengikut sejarah awal, nama Daerah Sepang diambil bersempena nama pokok yang banyak tumbuh di daerah ini, iaitu pokok Sepang(Caesalpina sappan). Pada awalnya, daerah ini merupakan kawasan-kawasan daerah kecil Kuala Langat (Mukim Sepang dan Mukim Labu) dan Hulu Langat (Mukim Dengkil) kemudian digabungkan menjadi satu daerah baru. Daerah Sepang mencapai taraf Daerah sepenuhnya pada 1 Januari 1975 . Semasa awal penubuhannya, Pusat Pentadbiran Daerah Sepang terletak di Pekan Sepang. Apabila Kerajaan Persekutuan memilih Daerah Sepang untuk menempatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pusat Pentadbiran Daerah Sepang telah dipindahkan ke Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) pada 26 Ogos 1983.


Bandar Baru Salak Tinggi dikenali sebagai Bandar Lapangan Terbang (Airport City) seluas 896 hektar sedang giat dibangunkan terutama melalui penswastaan supaya menjadi setaraf serta mampu menyokong projek-projek di daerah lain di Negeri Selangor. Selain daripada bangunan kerajaan, banyak kawasan-kawasan perumahan baru telah dibina dan kilang-kilang dibuka. Bandar ini dilengkapi dengan kemudahan awam seperti perpustakaan, stadium, dewan orang ramai dan sebagainya.


Jaringan jalan raya Daerah Sepang telah bertambah dan dipertingkatkan. Ia terdiri daripada Lebuh raya Elite di bahagian barat, Lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban di bahagian timur dan Lebuh raya B20 di pertengahannya. Sistem ini akan dipertingkatkan lagi dengan jalan raya-jalan raya baru seperti South Klang Valley Expressway (SKVE), Dedicated Highway, Putrajaya Urban Motorway dan Lebuh raya B15 baru. Di Daerah Sepang juga dilengkapi dengan Sistem Kereta api Ringan (Express Rail Link - ERL) yang dibina untuk menghubungkan Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui Putrajaya dan Cyberjaya. Kemudaha ninfrastruktur ini perlu bagi menampung projek-projek mega supaya pembangunan di sekitar Daerah Sepang terus berjalan lancar.