Monday, November 3, 2008

Paip Pecah-Sepang


SEPANG 16 Okt. - Lebih 350,000 pengguna di daerah ini, Hulu Langat dan Kuala Langat terputus bekalan air sejak pagi ini setelah tiga batang paip utama pecah di Kampung Revolusi Hijau, Semarang di sini, patah. Antara kawasan di Sepang yang terputus bekalan ialah seluruh pekan Dengkil, Jenderam Hulu dan Hilir, Sungai Buah, Bandar Baru Salak Tinggi, Bandar Sepang, pekan Sungai Pelek, Kampung Hulu Choh, Taman Pantai Sepang Putra, Taman Sri Bayu dan Bagan Lalang. Di Hulu Langat pula, antara kawasan yang terlibat ialah sebahagian besar Bandar Baru Bangi, Kampung Teras Jernang, Bandar Bukit Mahkota, Bandar Seri Putra, Jalan Bangi-Semenyih, Rinching Hulu dan sebahagian Semenyih. Di Kuala Langat, kawasan yang terjejas ialah seluruh mukim Tanjung Dua Belas Satu dan Dua, kawasan Jugra, mukim Batu, mukim Morib termasuk Kampung Kanchong Darat dan Kampung Kelanang.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) percaya ia disebabkan oleh kerja-kerja mengorek pasir secara haram di kawasan berdekatan. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Operasi Syabas, Ir. V. Subramaniam berkata, kerja-kerja pembaikan dijangka sukar berikutan musim hujan sekarang ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Semarang, Abdul Ghaffar Man, 63, berkata, pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang kerja mengorek pasir secara haram itu tetapi bidang kuasa mereka amat terhad. "Saya telah melaporkan masalah ini kepada Pegawai Daerah, namun tiada tindakan diambil setakat ini dan beliau memberitahu kuasanya juga terhad," ujarnya ketika ditemui di sini..

Rakannya, Manimohan Perumal, 42, berkata, penduduk kesal kerana tiada tindakan diambil terhadap kegiatan mengorek pasir itu walaupun telah beberapa kali diadukan kepada pihak berkuasa. "Apabila berlaku kejadian seperti ini, siapa yang mahu dipersalahkan?" soalnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som dalam kenyataan akhbarnya berkata, Syabas menyediakan 33 lori tangki bagi membekalkan air kepada kawasan-kawasan yang terlibat dan sembilan buah lori tangki air diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Syabas turut menyediakan sebanyak 438 buah tangki statik di beberapa kawasan yang dikenal pasti, bertujuan memudahkan penduduk kawasan terlibat mendapatkan bekalan air bersih. Syabas juga membuka pusat operasi krisis 24 jam di ketiga-tiga wilayah terlibat bagi memudahkan penduduk mendapatkan maklumat terkini mengenai kejadian tersebut.


No comments: